Rasuah Scorpene, Najib khianati pengorbanan tentera – Anwar

(Oleh Norutul Ilham)
PETALING JAYA 23 Jan: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri ekoran pembelian senjata oleh kerajaan Malaysia secara rasuah.
Katanya, tindakan Datuk Seri Najib Razak itu mengkhianati pengorbanan tentera yang bergadai nyawa mempertahankan keselamatan negara.
“Apabila peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan berhemah bagi keperluan dan kebajikan anggota tentera (baik persenjataan, kelengkapan, perumahan dan pendidikan) dihabiskan sebagai habuan rasuah, ini menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dapat berbelanja bagi keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan.
“Cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit dengan pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan imej ATM, walaupun skandal itu tiada kena mengena dengan anggota keselamatan,” katanya merujuk skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Terdahulu, bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Lt Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid mendedahkan, Kementerian Pertahanan (Kementah) membeli senjata mahal melalui rundingan terus dan melibatkan rasuah.
Anwar berkata, perkara tersebut berlaku kerana penglibatan orang politik yang tiada kepakaran dalam bidang ketenteraan, sebaliknya hanya memikirkan komisyen semata-mata.
“Saya bantah tindakan Najib dan penipuan politik untuk perolehan ATM. Soal persenjataan negara melibatkan dasar pertahanan strategik dan taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul oleh mereka.
“Isu perolehan harus telus, bukan secara runding terus. Halang daripada pengambilan rasuah dan komisyen,” tegasnya.
“Kedua soal pemindahan teknologi. Kalau rasuah itu menjadi kriteria, kepakaran yang ada dalam tentera diketepikan. (Walhal) yang mencadangkan beli senjata submarin, dan sebagainya adalah pimpinan politik. Pertimbangannya adalah politik dan komisyen. Jadi kita patut serah prinsip ini kepada yang mahir dan pakar,” kata Anwar.
Anwar berkata, kerajaan Pakatan Rakyat komited membela dan menjaga kebajikan tentera sebagai penghormatan kepada mereka mempertahankan negara.
Katanya, pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dirombak semula dengan perwakilan dari kalangan tentera yang adil dan bebas mewakili anggota terbanyak.
Menurut beliau, keuntungan dan perolehan LTAT diagihkan dengan adil kepada anggota terbanyak, termasuk melalui peruntukan skim mikrokredit khas tentera untuk memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan.
“Kita akan meningkatkan jumlah caruman yang disumbangkan oleh kerajaan di dalam LTAT kepada 20 peratus daripada gaji setiap bulan (berbanding 15 peratus sekarang).
“Peningkatan lima peratus caruman ini perlu diuruskan secara berasingan di dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada program-program imbuhan berbentuk bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera (yang berpencen dan tidak berpencen),” ujarnya.
Beliau menjamin untuk meningkatkan taraf hidup tentera dengan menambah caruman dan memastikan paras pencen setara dengan gaji minimum.
“Pakatan akan perkenalkan dividen khas kepada bekas tentera tidak berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun dan caruman tambahan lima peratus yang diberikan Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau.
“Dividen khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang meruncing,” kata Anwar.
“Kita juga akan pastikan paras pencen adalah setara dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan akan dilakukan, supaya tidak ada bekas anggota keselamatan yang tercicir dari pelarasan pencen seperti yang sering berlaku sekarang,” sambungnya.

No comments:

Do feel free to provide suggestions, ideas, comments, complaints or articles. Thank you

EMAIL:
malaysianindian1@gmail.com

To post comments, you need not log in to the Google account, just click Anonymous.


Malaysian Indian Ethnic Cleansing by UMNO led government

Google