Najib perlu berundur jika gagal dalam PRU 13, kata Dr M
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu berundur dan memberi
laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gagal meraih
majoriti besar dalam pilihan raya umum ke-13 tahun ini, kata Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Kenyataan bekas perdana menteri itu memberikan gambaran Najib berhadapan tugasan besar bagi memastikan Barisan Nasional
(BN) kembali mendapat majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen agar
kerajaan dapat melaksanakan segala polisi tanpa gangguan daripada
pembangkang.
"Jika dia gagal, sudah tentu dia harus berundur,"
kata Dr Mahathir (gambar) kepada pemberita selepas forum anjuran
Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di ibu kota hari ini.
Walau bagaimanapun, Dr Mahathir menambah, terpulang kepada ahli-ahli
Umno untuk menetukan nasib presiden mereka sekiranya gagal melebihi
pencapaian bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi.
"Ianya terpulang kepada ahli untuk tentukan masa depannya.
"Ahli berhak untuk tentukan siapa akan menerajui parti selepas pilihan
raya," kata Mahathir menjawab soalan kepada wartawan tentang sama ada
Najib perlu memberikan laluan kepada Muhyiddin ataupun tidak jika gagal
meraih majoriti besar.
Dr Mahathir sebelum ini juga berkata
kerajaan sedia ada ketika ini adalah sebuah kerajaan yang lemah dan
menyifatkan keberanian serta kelantangan banyak pihak yang mengecam
kerajaan adalah berpunca daripada keputusan lalu yang menyaksikan
kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hilang majoriti tradisionalnya.
“Ini soal kuat dan lemah, sekarang kita (Umno) lemah dan tanpa majoriti
2/3 kita akan terus menjadi lemah,” kata mantan perdana menteri itu.
“Kalau kerajaan kuat, orang tidak akan berani mencabar kerajaan,” kata
beliau pada satu forum 17 Januari lalu anjuran Karangkraf.
Mengikut tradisi dalam Umno, seseorang pemimpin yang gagal memberikan
kemenangan secara majoriti akan menyebabkannya disingkir seperti yang
berlaku kepada Abdullah pada 2008 dan juga Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj yang tewas pada pilihan raya lalu.
Menjelang PRU yang
akan diadakan tahun ini, Najib merayu agar pengundi memberikan mandat
baru kepadanya untuk meneruskan dasar reformasi yang boleh merangsang
Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti itu
dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan.
Najib berkata
mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi
global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Di
samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang
popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi
menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang
diperlukan.
Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi
mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi
persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.
Najib berhadapan misi
paling getir menjelang pilihan raya tahun ini yang dianggap paling
sengit dalam sejarah negara sejak mencapai kemerdekaan, malahan beliau
sehingga kini masih belum memutuskan senarai nama calon yang akan
bertanding serta berteka-teki dengan dengan tarikh pilihan raya yang
perlu diumumkan selewat-lewatnya April ini
No comments:
Post a Comment