Majoriti kes BID kerana Delta: Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kementeriannya mendapati majoriti kes kematian Covid-19 sebelum dibawa ke hospital – Brought In Dead – (BID) di negara ini adalah disebabkan varian Delta.

Penemuan itu adalah hasil jujukan genom yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)ke atas 29 kes BID, dengan 20 daripadanya dikenal pasti dijangkiti varian Delta setakat 25 Ogos lalu.

“Dari segi jenis kematian, 23 adalah kematian di hospital, manakala 29 lagi kematian BID.

“Daripada jumlah 52 kes ini, 32 dikesan membabitkan VOC, terdiri daripada 25 varian Delta dan tujuh varian Beta. Sejumlah 20 kes pula adalah varian bukan VOC (termasuk lapan B.1.466.2, enam B.1.524, dua B.1.459, masing-masing satu A.U.2, B.1.36.16, B.1.1354 dan B.6.).

“Menerusi 29 kes BID, sekurang-kurang 20 kes dikenal pasti disebabkan oleh varian Delta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, yang diterbitkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang bertanya sama ada pesakit yang maut akibat Covid-19 sudah menjalani jujukan genom, dan apakah keputusannya sehingga kini.

Khairy berkata, pemilihan sampel klinikal daripada individu yang meninggal dunia adalah antara kriteria yang digunakan untuk menjalankan ujian jujukan genom bagi mengenalpasti jenis virus Covid-19.

Katanya, IMR mulanya menerima sebanyak 158 kes kematian untuk menjalankan jujukan genom, dengan 24 adalah kematian di hospital dan 134 BID.

“Antara kriteria penting untuk kejayaan penjujukan seluruh genom adalah mempunyai kandungan virus yang tinggi, iaitu mempunyai nilai ‘cycle threshold’ (Ct) kurang daripada 25 melalui ujian RT-PCR semasa pengambilan sampel dilakukan.

“Oleh yang demikian, IMR hanya berjaya melakukan penjujukan virus SARS-CoV-2 daripada 52 kes kematian saja,” katanya.

No comments: