'Shafee beli banglo di Bukit Tunku guna cek RM9.5 juta dari Najib'


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa cek berjumlah RM9.5 juta yang diterima Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Razak pada 2013 dan 2014, digunakan untuk membeli sebuah rumah banglo di Bukit Tunku, di Kuala Lumpur.

Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasharudin Amir, 49, berkata Muhammad Shafee membuat pengakuan itu ketika percakapannya dirakam oleh beliau (Mohd Nasharudin) pada 28 Julai 2017.

"Berdasarkan jawapan yang diberikan Muhammad Shafee dalam rakaman percakapan, dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima daripada Najib sebagai bayaran khidmat nasihat guaman yang diberikan peguam itu kepada bekas perdana menteri berkenaan dan parti, digunakan untuk membeli rumah bernilai RM9.5 juta," katanya.

Mohd Nasharudin yang ketika itu Ketua Unit Siasatan Cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya, berkata Muhammad Shafee memberitahunya bahawa pemberian cek RM9.5 juta itu, tiada kaitan dengan pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments: