Saya mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk menjawab segera
10 soalan penting sebelum PRU13 diadakan. Sebenarnya Najib telah menjadi
Perdana Menteri yang sarat dengan paling banyak skandal dalam sejarah
Malaysia serta ada keperluan untuk beliau tampil ke depan dan bersihkan
nama.
AMK (Angkatan Muda Keadilan) berpendapat kegagalan Perhimpunan Agung
Umno dalam mengemukakan sebarang pandangan dan halatuju negara dalam
mencapai perubahan yang baik kepada rakyat. PM Najib langsung tidak
menyentuh tentang isu rasuah dan penyelewengan dalam Umno, tetapi
memilih untuk serang dan mengaibkan Pakatan Rakyat.
Perbuatan Najib bukan sekadar menunjukkan bahawa Umno telah hilang
keyakinan untuk menang dalam PRU13. Sekiranya beliau ada keikhlasan
untuk mengakui kesalahan yang dibuat oleh Umno-BN sejak dulu, maka 10
soalan yang dikemukakan oleh AMK perlu dijawab dengan serius agar rakyat
dalam menilai dengan informasi yang mencukupi dan gambar yang sebenar.
Soalan 1: Sekiranya Najib menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah
negara yang paling demokratik di dunia, kenapa sampai hari ini masih
enggan untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim? Bukankah
berdebat adalah sebahagian penting dalam sistem demokrasi?
Soalan 2: Sebagai seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab serta
hormat pada kuasa rakyat, bagaimanakah Najib menangani kekalahan yang
bakal dihadapi oleh Umno-BN dalam PRU13? Bagaimanakah beliau memastikan
peralihan kuasa secara aman kepada Pakatan Rakyat?
Soalan 3: Jikalau Najib ingin mengambil martabat wanita, kenapa
memecah rekod Malaysia dengan menjadi lelaki pertama yang merangkap
Menteri Wanita? Adakah Umno-BN ketandusan pimpinan wanita yang
berkebolehan dan kredible.
Soalan 4: Dalam konteks mencari kebenaran serta urus tadbir yang
baik, kenapa kerajaan Umno-BN menghalang peguam Perancis untuk masuk ke
Malaysia untuk memberi taklimat tentang perkembangan terkini perbicaraan
skandal pembelian kapal selam Scorpene? Kenapa memperalatkan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke atas Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) yang membawa kes skandal Scorpene tersebut ke Mahkamah di
Perancis?
Soalan 5: Apakah pandangan Najib terhadap skandal RM40 juta Ketua
Menteri Sabah Musa Aman yang merupakan komisen pembalakan serta
sumbangan politik? Adakah kerajaan Umno-BN akan menubuhkan Suruhanjaya
Diraja untuk membuat siasatan ke atas kes rasuah dan konflik
kepentingan?
Soalan 6: Kenapa Najib masih mengambil sikap bisu ke atas pelbagai
dakwaan serius yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan khasnya
dalam projek Kementerian Pertahanan yang berjumlah RM100 juta pada
tahun 2005 berkait rapat dengan keluarga Najib? Adakah kerajaan Umno-BN
cuba untuk melindungi kebenaran daripada diketahui oleh rakyat?
Soalan 7: Bekas Ketua Polis Musa Hassan telah menuduh Menteri Dalam
Negeri Hishammuddin Hussein Onn yang campur tangan dalam pentadbiran
PDRM, bagaimanakah Najib menangani isu profesionalisme dan kewibawaan
polis yang dimanipulasi oleh parti Umno-BN?
Soalan 8: Kenapa kerajaan Umno-BN berdegil untuk membenarkan loji
nadir bumi Lynas untuk beroperasi di Malaysia walaupun ditentang kuat
oleh rakyat? Adakah menarik pelaburan asing lebih penting daripada
kesihatan rakyat? Rakyat didahului yang diwar-warkan dalam slogan 1
Malaysia hanya slogan kosong yang tidak bermakna langsung?
Soalan 9: Kenapa penstrukturan semula subsidi sering kali dikenakan
ke atas barang keperluan rakyat tetapi langsung tidak mengkaji semula
perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah? Adakah
Najib lebih suka membuat public relation exercise tetapi enggan
mengakui menangani masalah pokok kenaikan harga barang?
Soalan 10: Walaupun pembubaran Dewan Rakyat terletak pada tangan
Perdana Menteri, adakah Najib akan mencontohi Menteri Besar Selangor
Khalid Ibrahim yang telah mengumumkan bahawa Dewan Negeri Selangor akan
dibubar pada bulan Mac 2013? Kenapa Najib masih bersenang hati dengan
rakyat sentiasa meneka tarikh PRU13? Kenapa tidak menetapkan tarikh
dengan lebih awal?
Oleh itu, AMK mendesak Najib untuk menjawab kesemua 10 soalan
tersebut dengan ikhlas. Jangan lari daripada permintaan rakyat serta
menjalankan reformasi tulen termasuk perang rasuah serta melaksanakan
urus tadbir yang telus dan baik sebelum PRU13.
No comments:
Post a Comment