Buktikan saya bersalah di UK!



Biarpun RPK pernah dicabar untuk pulang ke mahkamah Malaysia dan membuktikan dirinya tidak bersalah, beliau tetap berkeras, "Penuntut fakulti perundangan tahun pertama juga tahu bahawa tanggungjawab pendakwa raya adalah untuk membuktikan tertuduh bersalah, bukannya tertuduh membuktikan dirinya tidak bersalah.  Kalau mereka ingin membuktikan saya bersalah, datanglah ke mahkamah UK!"



Sim Tze Wei, Merdeka Review

 

Raja Petra Kamarudin (RPK) akhirnya muncul di BPP Law School, London untuk mencabar kerajaan Malaysia agar membuktikan beliau bersalah di United Kingdom, tetapi bukan mengurungnya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


"Kalau mereka nak main, main ikut peraturan saya!  Bak pepatah, kalau nak tumbangkan musuh, ajak dia main di gelanggang kita.  Gelanggang saya di sini, United Kingdom!" Demikianlah kata-kata RPK sambil berseloroh ketika dijemput oleh Solicitor’s International Human Rights Group untuk berucap di BPP Law School, semalam.


Semasa menjawab soalan dari bawah pentas, RPK mendakwa sebaik sahaja beliau dibebaskan pada Februari tahun lalu, pendakwa raya telah memohon agar mahkamah menggugurkan penghakiman tersebut.  Namun, permohonan itu tidak terjawab sehingga kini.  RPK menjangka dirinya mungkin ditahan semula.


RPK berkata dirinya sanggup berdepan dengan pendakwaan pada bila-bila masa, tetapi enggan melayan seandainya beliau perlu dikurungkan di bawah ISA.


Biarpun RPK pernah dicabar untuk pulang ke mahkamah Malaysia dan membuktikan dirinya tidak bersalah, beliau tetap berkeras, "Penuntut fakulti perundangan tahun pertama juga tahu bahawa tanggungjawab pendakwa raya adalah untuk membuktikan tertuduh bersalah, bukannya tertuduh membuktikan dirinya tidak bersalah.  Kalau mereka ingin membuktikan saya bersalah, datanglah ke mahkamah UK!"


Salah seorang hadirin membandingkan situasai antara RPK dengan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, "Kamu dan Anwar Ibrahim berdepan dengan keadaan yang sama.  Seorang memilih untuk terus berada dalam negara, seorang lagi memilih untuk terbang ke London.  Siapakah pula antaranya yang lebih mungkin untuk mengelakkan diri dari malapetaka?"


Secara terus terang RPK mendakwa Anwar Ibrahim telah bertekad untuk menetap di Malaysia dan menentang sehabis-habisnya, kerana Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri seterusnya.  Namun, RPK menyatakan bahawa dirinya tidak berniat untuk menjadi ahli politik.


London telah menjadi medan perang antara kerajaan dan pembangkang di Malaysia, lantaran populasi warga Malaysianya yang agak tinggi.  Ahli politik Malaysia seperti Menteri Besar Negeri Perak Zambry Abd Kadir, Anwar Ibrahim, Mohd Nizar Jamaluddin dan lain-lain lagi pernah mendarat di kota antarabangsa ini untuk memberi ucapan politik.  Kini, blogger terkenal di Malaysia, RPK turut tampil berkongsi pengalaman dirinya ketika ditahan di bawah ISA.


ISA bukan warisan penjajah British
RPK menafikan bahawa ISA adalah akta yang diwarisi daripada penjajah British, ketika beliau memulakan ucapannya.  ISA diluluskan selepas tiga tahun negara kita mencapai kemerdekaan.  RPK menambah, ISA dibentangkan oleh bekas PM Abdul Razak pada tahun 1960 (TPM ketika itu), dibantah oleh pemimpin Parti Progresif Rakyat, D. R.Seenivasagam.


Abdul Razak ketika itu memujuk D. R.Seenivasagam dengan alasan bahawa ISA diperlukan untuk menangkis serangan komunis, namun ISA kini telah menjadi alat kerajaan untuk menekan mereka yang berbeza pandangan dan menakut-nakutkan pegawai kerajaan, kata RPK.


Menurut RPK (gambar kanan), OKT (orang kena tahan) akan diasak dengan pelbagai tuduhan dalam tempoh penahanan 30 hari pertama, malah berdepan dengan ancaman agar OKT mengaku salah.  RPK berkata surat pengakuan salahnya setebal 200 muka surat, antaranya termasuklah "membunuh Presiden Kennedy".  Beliau akan dibebaskan seandainya mengaku bersalah, dan meletakkan tandatangan pada setiap muka surat, untuk 30 salinan surat pengakuan yang setebal 200 muka surat.


30 hari kemudiannya, OKT akan diseksa, supaya berpaling tadah untuk menyokong kerajaan.  Malah, OKT akan digoda dengan pangkat, wang, rumah banglo dan sebagainya.  RPK membahagikan OKT kepada dua kategori, iaitu sebahagiannya akan menerima ganjaran setelah kompromi.  Selebihnya pula akan diarah untuk terus kekal dalam pembangkang sebagai "trojan horse" BN.  Kuda Trojan ini akan mencetuskan perselisihan dalam pembangkang untuk mencungkil rasa benci pengundi, malah RPK terus menyindir bahawa Zulkifli Nordin adalah antara yang terjatuh dalam kategori ini.


Disambut dengan penghormatan
Selain itu, RPK juga mendedahkan penyeksaan yang berlaku ketika penahanan di bawah ISA.  Ketika mengulas pilihan raya kecil yang berlangsung di Malaysia setelah dibangkitkan oleh hadirin, RPK berkata pertubuhan antarabangsa harus menghantar pemerhati untuk memantau perjalanan PRK di Malaysia, yang mana penyelewengannya semakin berleluasa.


Ceramah ini diadakan pada jam 2 petang di London, semalam, menarik kehadiran antara 300 hingga 400 orang.  Hadirin berdiri dan menyambut ketibaan RPK dengan tepukan gemuruh.  Malah, ada yang meminta tandatangan RPK selepas ceramah tersebut.


*Sim Tze Wei adalah penulis khas MerdekaReview yang membuat liputan di BPP Law School, London.  Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.



No comments: