Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering menjadi bahan kecaman
Umno, sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas, nama Tok
Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakah Tok Guru tidak
disenangi Umno? Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu
kepada wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah
Kelantan, 10 Disember 2011.
HARAKAH: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: PAS
diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya
menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita
sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota
tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala
kita wajib bersyukur. Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang
Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara
ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu.
Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat. Umno mengira dia
telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di
sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada
di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang
Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah. Misalnya
motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu.
Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala,
sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan. Jika kita duduk bawah
kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita
dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah
kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan
mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah
kita dengan Allah Taala, kena terima semua.
Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?
Kita dididik oleh Islam hendaklah
menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat.
Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita
tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak
diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia.
Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak
pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita
salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala. Inilah
cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat
bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain,
hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah
pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah
macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT
nak guling macam mana, nak tukar macam mana?
Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?
Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang
melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia
(orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing)
sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang? Jika Umno sendiri
nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya
Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS
perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata
tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang
lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini.
Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut
Umno. PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan
Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam
bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah
Islam. Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di
Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini,
maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan
Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno.
Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena
fikir kesudahannya.
Isu agama dipolitikkan sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?
Politik ini sebahagian agama.
Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka
menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan
sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi
wajib. Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan
Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila
politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia
yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah? Kalau agama lain,
politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa?
Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio
sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah
SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama,
berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda
letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa? Ini kerja politik,
jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana
hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja.
Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja
Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua
Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama
lain politik lain?
Maknanya, Umno tiada hujah, hanya putarbelit mereka sahaja?
Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi
Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua
minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang
sembahyang. Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the
way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri,
bagaimana berumah tangga, berjiran. Mengurus kewangan, adakah sebarang
harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini
23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah
sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa,
sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan
ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan. Jadi bukan sembahyang
sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di
Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru
sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi
menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya,
pemikiran hingga 23 tahun. Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah
inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi
Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan,
bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari
dari timur ke barat. Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi
Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia,
tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA. Banyak tok-tok guru
pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya
hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik.
Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak
boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini
semua tanda Umno itu sesat. Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak
sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima
kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.
Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?
Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu
ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau
orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia. Pergi
ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap
Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak
payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara
boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang,
boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh
jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia. Jadi benda kena jaga ni
bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit
kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip
lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus.
Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati
pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno. Kalau Umno ikut kata dia ikut kata
Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga
juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh
hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi
tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.
Sumber : Harakahdaily
No comments:
Post a Comment