(Oleh Norutul Ilham)
PETALING JAYA 23 Jan: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
membidas Perdana Menteri ekoran pembelian senjata oleh kerajaan Malaysia
secara rasuah.
Katanya, tindakan Datuk Seri Najib Razak itu mengkhianati pengorbanan
tentera yang bergadai nyawa mempertahankan keselamatan negara.
“Apabila
peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan berhemah bagi keperluan
dan kebajikan anggota tentera (baik persenjataan, kelengkapan, perumahan
dan pendidikan) dihabiskan sebagai habuan rasuah, ini menyebabkan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak dapat berbelanja bagi
keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan.
“Cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit dengan
pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan imej
ATM, walaupun skandal itu tiada kena mengena dengan anggota
keselamatan,” katanya merujuk skandal rasuah pembelian kapal selam
Scorpene.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Terdahulu, bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia,
Lt Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid mendedahkan, Kementerian
Pertahanan (Kementah) membeli senjata mahal melalui rundingan terus dan
melibatkan rasuah.
Anwar
berkata, perkara tersebut berlaku kerana penglibatan orang politik yang
tiada kepakaran dalam bidang ketenteraan, sebaliknya hanya memikirkan
komisyen semata-mata.
“Saya bantah tindakan Najib dan penipuan politik untuk perolehan ATM.
Soal persenjataan negara melibatkan dasar pertahanan strategik dan
taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul
oleh mereka.
“Isu perolehan harus telus, bukan secara runding terus. Halang daripada pengambilan rasuah dan komisyen,” tegasnya.
“Kedua soal pemindahan teknologi. Kalau rasuah itu menjadi kriteria,
kepakaran yang ada dalam tentera diketepikan. (Walhal) yang mencadangkan
beli senjata submarin, dan sebagainya adalah pimpinan politik.
Pertimbangannya adalah politik dan komisyen. Jadi kita patut serah
prinsip ini kepada yang mahir dan pakar,” kata Anwar.
Anwar berkata, kerajaan Pakatan Rakyat komited membela dan menjaga
kebajikan tentera sebagai penghormatan kepada mereka mempertahankan
negara.
Katanya, pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu
dirombak semula dengan perwakilan dari kalangan tentera yang adil dan
bebas mewakili anggota terbanyak.
Menurut beliau, keuntungan dan perolehan LTAT diagihkan dengan adil
kepada anggota terbanyak, termasuk melalui peruntukan skim mikrokredit
khas tentera untuk memastikan mereka mendapat perhatian selepas
meninggalkan perkhidmatan.
“Kita akan meningkatkan jumlah caruman yang disumbangkan oleh
kerajaan di dalam LTAT kepada 20 peratus daripada gaji setiap bulan
(berbanding 15 peratus sekarang).
“Peningkatan
lima peratus caruman ini perlu diuruskan secara berasingan di dalam
dana LTAT dan dikhususkan kepada program-program imbuhan berbentuk
bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera (yang berpencen dan tidak
berpencen),” ujarnya.
Beliau menjamin untuk meningkatkan taraf hidup tentera dengan
menambah caruman dan memastikan paras pencen setara dengan gaji minimum.
“Pakatan akan perkenalkan dividen khas kepada bekas tentera tidak
berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun dan caruman
tambahan lima peratus yang diberikan Kerajaan Persekutuan,” jelas
beliau.
“Dividen khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang tidak
mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang
meruncing,” kata Anwar.
“Kita juga akan pastikan paras pencen adalah setara dengan dasar gaji
minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan akan dilakukan, supaya tidak
ada bekas anggota keselamatan yang tercicir dari pelarasan pencen
seperti yang sering berlaku sekarang,” sambungnya.
No comments:
Post a Comment