Tindakan mahkamah dan saman sivil akan diambil terhadap Syarikat Bekalan
Air Selangor (SYABAS) jika syarikat tersebut gagal menyelesaikan
masalah air di Selangor, kata Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor,
Zuraida Kamaruddin (duduk, tiga dari kanan).
“Jika perlu, saman sivil atau tindakan mahkamah akan diambil. SYABAS
juga perlu memikirkan pampasan kepada penduduk terlibat kerana ramai
dari mereka yang berpendapatan rendah.
“Ada yang terpaksa hantar baju ke dobi dan makan di luar,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
“Menurut SYABAS, pada 4 Januari, masalah bekalan air terputus akan
selesai dalam masa lima hari. Tapi sampai sekarang tak selesai lagi,”
katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Kata Zuraida, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif syarikat
itu, Rozali Ismail dan penyerahan memorandum ke ibu pejabatnya akan
dilakukan di Jalan Pantai Baru 10 Januari ini.
Menurut beliau, selepas tinjauannya ke rumah pam Wangsa Maju pada 3
Januari, pihak SYABAS melaporkan empat dari lima rumah pam pulih.
“Tetapi pihak perhubungan awam SYABAS pula melaporkan hanya dua pam yang pulih. Masalah ini telah masuk minggu kedua.
Isu ini menjadi isu nasional dan beritanya merebak ke luar negara,” tegas Ketua Wanita KEADILAN itu.
Beliau menuntut SYABAS membuat rondaan ke kawasan terlibat tanpa henti
bagi memastikan tangki statik sentiasa mempunyai air sementara menunggu
rumah pam beroperasi pada tahap biasa.
“Bukan hanya menunggu aduan semata-mata. Saya terima banyak laporan
talian aduan, tapi SYABAS tak menjawab dengan penjelasan munasabah,”
katanya.
Zuraida juga mendesak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyiasat
bekalan air terputus memandangkan masalah ini tidak sewajarnya berlaku
di sebuah negara yang kononnya menuju negara maju.
“Adalah mustahil untuk diterima akal, semua sistem pam gagal serentak
dan tak ada mekanisme serta sistem sokongan sewajarnya yang dapat
mengelakkan kejadian bekalan air terputus,” tegasnya.
Dakwa SYABAS, pihaknya tidak mampu lagi menampung permintaan tinggi 210
juta liter sehari sedangkan kapasiti rumah pam yang terjejas seminggu
lalu di Wangsa Maju cuma membekalkan 140 juta liter sehari.
Namun ini tidak boleh disalahkan terhadap kerajaan Selangor semata-mata
kerana Syabas sudah mengesan masalah ini sejak lima tahun lalu terutama
keupayaan rumah pam seliaan mereka menampung permintaan yang semakin
meningkat setiap tahun.
Projek Langat 2 yang kununnya akan menyelesaikan masalah air di Kuala
Lumpur, Selangor dan Putrajaya hanyalah umpan untuk terus membolot
projek untuk pemimpin Umno kerana perkara asas seperti isu air tidak
berhasil (NRW) dan paip usang melebihi 30 tahun masih belum
diselesaikan.
Jika perkara ini terus berlarutan, tidak mustahil Kerajaan Selangor akan
campur tangan termasuk menyaman SYABAS kerana gagal mematuhi perjanjian
yang ditandatangani semasa BN berkuasa dahulu.
Zuraida hari ini turun membantu melihat kerja-kerja memasukkan air ke
dalam tangki statik di kawasan parlimennya setelah desakan demi desakan
dilakukan terhadap SYABAS sejak empat hari lalu.
No comments:
Post a Comment