Azmin: Rakyat tidak wajar takut jika Umno-BN tumbang

November 25, 2011

PULAI, 25 Nov — PKR menerusi komponen Pakatan Rakyat mampu mentadbir Malaysia dengan lebih baik berbanding Umno, jelas Timbalan Presidennya Azmin Ali sambil menambah, pihaknya bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

Bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Kongres sayap Angkatan Muda dan Wanita PKR di sini hari ini, Azmin (gambar) berkata parti itu telah membuktikan kesediaan mereka untuk memerintah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan mereka di negeri-negeri pimpinan parti itu.

“Rakyat tidak perlu takut sekiranya Umno-BN tumbang ketika pilihan raya ini, PKR sudah bersedia untuk membentuk kerajaan berdasarkan prestasi di negeri-negeri di bawah kuasa kami,” katanya.

“Pentadbiran Umno memperlihatkan ketirisan berterusan dan pentadbiran yang tidak telus, oleh itu, PKR akan mengambil alih pemerintahan daripada Umno,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Azmin menuntut agar setiap sayap parti berkenaan bekerja keras memberi kefahaman dengan turun ke akar umbi dan fokus kepada gerak kerja menghadapi pilihan raya.

“Setiap sayap parti harus bekerja keras bagi memastikan setiap rakyat mendapat kefahaman yang jelas berkenaan perjuangan PKR, ini bukan perkara mustahil, kita sudah buktikan dengan menawan Selangor,” katanya yang turut yakin akan berjaya merampas negeri Johor daripada kuasa BN.

“Johor mungkin kubu kuat Umno, tapi tidak mustahil kami akan merampas kuasa terbabit, pilihan raya 2008 dahulu memperlihatkan Umno menang tipis di negeri ini, ini petanda baik untuk PKR melebarkan kuasa ke negeri ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, kongres PKR yang diadakan di negeri ini turut mempunyai petunjuk ketara dengan sokongan teguh daripada rakyat.

“Sokongan rakyat Johor kepada PKR semakin kuat, perkara itu jelas apabila dilihat Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengarahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyekat ceramah anjuran PKR di setiap cabang di negeri ini,” tegasnya.

“PKR merencana tidak kurang 15 hingga 20 ceramah di setiap cabang sepanjang kongres berlangsung di sini, malam tadi kami diberitahu pihak polis turut membatalkan beberapa permit di lokasi yang telah dikeluarkan tanpa sebarang sebab.

“Itu jelas membuktikan kerajaan negeri khuatir dengan pengaruh PKR dan mengarahkan PBT dan menggunakan pihak polis untuk cubaan tersebut,” jelasnya.

Namun begitu menurut Azmin, ceramah-ceramah berkenaan akan tetap berlangsung walaupun tanpa permit kerana yakin pengaruh dan penguasaan mereka di kubu kuat Umno ini semakin kukuh.

1 comment:

Anonymous said...

jika pakatan menang PR13..,saya lebih sokong LGE jadi PM7 dan TPM karpal singh malaysia....

Do feel free to provide suggestions, ideas, comments, complaints or articles. Thank you

EMAIL:
malaysianindian1@gmail.com

To post comments, you need not log in to the Google account, just click Anonymous.


Malaysian Indian Ethnic Cleansing by UMNO led government

Google