Wan Azizah: Rasuah Umno-BN makin ketara hingga jadi jenaka rakyat

November 26, 2011
JOHOR BARU, 26 Nov — Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata skandal dan penyelewengan Umno-BN, yang berkuasa sejak lebih lima dekad lalu, semakin ketara sehingga menjadi bahan jenaka rakyat termasuk dengan sindiran “lembu-lembu kondominium.”

‘Lembu-lembu kondominium’ menjadi rujukan kepada masalah yang menyelubungi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam RM250 juta dan dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno.

Ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara akhir bulan lalu, PKR menjadikan sebagai isu dan ia kini disiasat oleh polis.

Pemimpin PKR mendakwa sebahagian wang itu digunakan untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar.

“Mujurlah rakyat Malaysia ini kuat berjenaka – bila wang berbilion ringgit dibazirkan membeli peralatan perang terpakai yang tidak berfungsi, rakyat Malaysia berseloroh tentang kapal selam yang tidak boleh tenggelam.

“Bila wang ratusan juta yang sepatutnya sampai kepada penternak hilang di tengah jalan, rakyat Malaysia berjenaka tentang lembu-lembu di kondominium,” kata beliau dalam ucapan dasar pada Kongres PKR Kelapan di sini hari ini.

Di bahagian tajuk kecil “Pentadbiran Beramanah”, Dr Wan Azizah berkata, muafakat dalam Pakatan Rakyat kian matang dan pimpinan PKR di semua peringkat harus memastikan bahawa ikatan itu kian mantap malah kerjasama intim ketiga-tiga parti harus diadakan di semua peringkat.

“PKR akan teguh dan kukuh bersama Pakatan Rakyat menuntut Islah, reformasi yang murni dan benar serta menolak kezaliman, penindasan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Sejak tsunami politik 2008 kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak (sebelumnya dirampas secara rakus), kita telah buktikan keupayaan kita membanteras rasuah, melaksanakan tata kelola yang lebih baik dan mampu mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat,” kata beliau lagi.

Sebaliknya gelagat Umno-BN, kata beliau, masih di takok lama dengan keanggkuhan dan kerakusan kuasa.

“Malah lebih ketara skandal rasuah dan penyelewengan mereka,” kata beliau lagi.

No comments:

Do feel free to provide suggestions, ideas, comments, complaints or articles. Thank you

EMAIL:
malaysianindian1@gmail.com

To post comments, you need not log in to the Google account, just click Anonymous.


Malaysian Indian Ethnic Cleansing by UMNO led government

Google