Pakatan Rakyat akan selesaikan masalah Melayu. Masalah India bagaimana?

Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, Pakatan Rakyat telah berjaya menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan oleh BN di negeri itu

PETALING JAYA: Kerajaan Pusat perlu mencontohi Pulau Pinang dalam menguruskan pembangunan dan rakyat walaupun baru tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah, kata seorang ahli Parlimen PKR hari ini.

Yusmadi Yusoff, ahli Parlimen Balik Pulau berkata, Pakatan Rakyat telah berjaya menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan oleh BN di negeri itu.

Katanya, tidak seperti negeri-negeri lain, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan asing tertinggi dan kadar jenayah terendah.

“Isu-isu asas dalam semua bidang terutama yang utama seperti perumahan, agama dan agama telah diselesaikan,” katanya yang dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Yusmadi yang pertama kali menjadi ahli parlimen menegaskan kerajaan negeri perlu menyelesaikan beberapa isu lain di negeri itu.

Antaranya ialah isu kebudayaan, alam sekitar dan luar bandar yang perlu diberikan perhatian lebih supaya seimbang dengan pembangunan sedia ada.

Jika semua masalah ini boleh diselesaikan, Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya dalam pilihan raya nanti, katanya.

`Pecah amanah’

Mengenai keresah orang Melayu di Pulau Pinang yang mendakwa semakin terpinggir, ahli parlimen Balik Pulau menegaskan, isu tersebut perlu diselesaikan secara bersama membabitkan semua pihak.

Menurutnya, isu ini telah berlaku sejak tahun 70-an dan Umno yang berkuasa gagal menyelesaikannya.

“Saya percaya Pakatan Rakyat boleh menyelesaikannya dengan syarat ada muafakat yang bersungguh-sungguh dari semua pihak.

“Isu Melayu gagal diselesaikan kerana berlaku `pecah amanah’ oleh Umno,” dakwanya.

Yusmadi menegaskan jalan penyelesaian orang Melayu perlu berdasarkan keadilan sosial dan bukannya bersandarkan kepada kaum.

Katanya, jika gagal berbuat demikian sudah tentu masalah orang Melayu Pulau Pinang tidak akan selesai dan malah menjadi semakin teruk.

No comments: