Menurut polis, sebarang perarakan mesti mendapat kelulusan Ketua Polis Daerah masing-masing.
KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan terbaru, polis berkata, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) perlu memohon permit untuk mengadakan piket di seluruh negara esok seperti yang termaktub dalam Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid hari ini.
“Walaupun surat yang memaklumkan tujuan serta lokasi piket itu diadakan telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, prosedur untuk mengadakan perhimpunan masih perlu dipatuhi.
“Dalam hal ini, akta polis masih berkuatkuasa…..sebarang perarakan mesti mendapat kelulusan Ketua Polis Daerah masing-masing.
Mereka perlu kemukakan permohonan dan kami akan pertimbangkan sama ada ia (boleh) menjejaskan keselamatan awam atau tidak.
“Tak kisahlah mereka nak berhimpun sehingga 100,000 orang sekalipun. Kalau ia tak mudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam, kami akan luluskan. Kami bukanlah kejam sangat tidak benarkan sebarang perhimpunan diadakan,” kata Salleh kepada pemberita di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, hari ini.
Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan yang dihubungi hari ini berkata, pihaknya telah memberitahu polis mengenai lokasi piket esok namun MTUC tidak memohon permit polis untuk mengadakan piket tersebut.
Piket itu akan diadakan bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955 yang diluluskan Parlimen pada 6 Oktober lalu.
No comments:
Post a Comment