Sebab Cina dan India menolak sekolah kebangsaan

Sewaktu saya membesar, daging tidak pernah dihidangkan di rumah sebab emak seorang penganut Buddha.

Penjelasan beliau kepada saya (semasa usia kanak-kanak) lebih kurang mirip kepada ajaran Hindu – agama Buddha pun dilahirkan di benua kecil India juga – iaitu lembu itu binatang ‘suci’ yang banyak berjasa kepada kita.

Gambar Utusan (diambil dari http://manjongmari.blogspot.com)

Berbalik kepada isu penyembelihan lembu di perkarangan sekolah bersempena dengan Aidil Adha.

Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar pada Nov 9
dipetik sebagai berkata: “Saya fikir pandangan itu [yakni bantahan MCCBCHST] tidak sepatutnya dikemukakan kerana mungkin boleh timbul salah faham.”

Muhyiddin juga mempersoalkan “kenapa hal sebegini dibangkit, perkara yang bukan masalah mahu dijadikan masalah”.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Pelajaran Abd Ghafar Mahmud.

Sungguhpun MCCBCHST ialah sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan yang berpengaruh, kenyataannya itu tidak juga lepas dikecam hebat oleh pelbagai pihak.

Sekolah kebangsaan berciri Islam

Bayangkan kalau ianya seorang ibubapa India atau Cina yang membangkitkan perkara ini. Pasti akan dituduh sebagai mencabar Islam, ‘Islamophobe’, membuat hal, dsb.

Kontroversi yang disebutkan di atas beserta upacara-upacara bersangkut-paut agama Islam – yang mana umum dikehendaki hadir walaupun tidak mengambil bahagian, contohnya ketika bacaan doa – adalah antara sebab-sebab yang memberi kesan kepada keputusan ibubapa Cina dan India (yang rata-rata semuanya) memasukkan anak ke sekolah vernakular.

Saya bukan mengatakan hanya kerana alasan ini sahaja ataupun ianya merupakan sebab utama yang mendorong mereka membuat pilihan tersebut. Akan tetapi tidak harus dinafikan budayanya yang bercirikan Islam, diiringi dengan faktor bukan-Muslim kurang berupaya untuk melahirkan ketidakserasian kami, memang menjadi satu sebab kami menjauhi sekolah kebangsaan.

Jika hendak mendudukkan murid berbilang kaum sebangku sebagaimana disyorkan kempen Satu Sekolah Untuk Semua (SSUS), maka apa-apa kemusykilan yang mungkin timbul hendaklah dirungkai terlebih dahulu.

1Sekolah 1Budaya?

Scan surat diambil dari http://theunspinners.blogspot.com (klik)

.
Kumpulan penggiat siber SSUS berhasrat memansuhkan sekolah vernakular atas kritikan “suasana terpencil” di sekolah jenis kebangsaan Cina atau SRJK (C) kononnya tidak memberi peluang kepada para pelajar untuk bergaul dengan kaum-kaum lain.

SSUS mahu supaya kanak-kanak di alam persekolahan diasuh supaya kelak dapat “menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk negara ini”. SSUS juga berkata kegiatan-kegiatan ko-kurikulum perlu digalakkan yang mampu mendedahkan pelajar kepada kepelbagaian budaya.

Sekiranya sistem pendidikan aliran bahasa ibunda didakwa “menyerapkan nilai-nilai satu kaum sahaja”, adakah sekolah kebangsaan pula menyerapkan nilai-nilai kaum lain?

Akankah Thaipusam dan sambutan ‘Hantu Lapar’ boleh diadakan di sekolah supaya murid Melayu boleh memahami adat resam masyarakat majmuk? Ataupun diluluskan upacara-upacara Kristian yang melibatkan nyanyian, lakonan Nativity (kelahiran Yesu), Santa Claus, dsb?

Sebuah sekolah Cina di Kelantan, SJKC Kai Chih, dibawa ke mahkamah kerana mengadakan pesta tanglung di kawasan sekolah tanpa permit.

Dilaporkan bahawa Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Puteh (di mana letaknya sekolah Cina itu) telah mengeluarkan notis pada 18 Sept.

Desakan untuk buka sekolah Inggeris

Matlamat SSUS ialah supaya anak-anak kita akan berbahasa kebangsaan sebagai bahasa utama nanti. Kempen tersebut membantah bahasa-bahasa asing dipromosikan secara meluas.

Akan tetapi melihat kepada polemik yang dicetuskan PPSMI, nampaknya bahasa Inggeris bukan sahaja dijulang tetapi diletakkan pada takuk paling atas sekali.

English - the national language of Bangsar

Malah selepas berjayanya PAGE baru-baru ini, mereka mula mendesak supaya tempoh pelaksanaan PPSMI dilanjutkan dan skopnya diperkembangkan untuk merangkumi murid Darjah Satu yang baru bersekolah.

Ada juga desakan-desakan baru untuk diadakan sekolah bahasa ibunda Inggeris meskipun BI bukan bahasa asli mana-mana suku kaum yang tinggal di Malaysia.

(Baca juga, ‘Methodists to open private schools as public standards fall‘.)

Kalau hendak kata orang Serani berbahasa ibunda BI pun tidak betul; kaum Serani mewarisi bukannya Inggeris tetapi sisa-sisa bahasa Portugis iaitu Kristang (bahasa creole).

BI mungkin hanya bahasa asli satu-satunya di Bangsar.

Bukan Cina bukit yang menghasut

Walaupun sekolah vernakular ialah suatu isu pendidikan namun ia tidak dapat dipisahkan daripada politik perkauman negara.

SSUS dalam memo mereka telah memberi saranan:

“Pengkajian semula sistem pelajaran negara ini haruslah dilakukan memandangkan fenomena perpecahan kaum yang semakin meruncing di masa kini. Gejala ini amatlah jelas sekali di alam siber dimana segelintir masyarakat kini mempamerkan sikap anti-negara yang semakin berleluasa. Jelas sekali, anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara, tiada rasa cinta kepada Tanah Air dan juga menonjolkan penulisan hasutan yang mencetuskan sentimen perkauman yang begitu ketara sekali.”

Gejala di alam siber yang diperkatakan SSUS sebenarnya menyerlah khususnya selepas pilihanraya umum Mac 2008. Sekolah Cina telah beroperasi lebih 40 tahun*, iaitu sejak Mei 13, 1969 sampai sekarang tetapi suasana kita bertegang urat hanya meruncing sejak kebelakangan ini.

Jadi kenapa disalahkan sekolah vernakular?

SSUS melemparkan tuduhan terhadap “anasir-anasir ini tidak menghormati asas dan prinsip Perlembagaan negara” sebagai bertanggungjawab atas perpecahan kaum.

Cuba fikir: Yang dipersalahkan SSUS bertekak leher di alam siber merupakan ‘anasir-anasir’ yang mendokong bahasa Inggeris ataupun bahasa Cina?

* Sekolah mubaligh mulai ditukar kepada sekolah kebangsaan ekoran pelaksanaan DEB pada 1970 sementara sekolah Cina dan Tamil tidak diusik walaupun tidak juga dibenarkan berkembang, yakni ditambah jumlah mereka.

No comments: