Mahathir gagal tingkatkan kualiti pelajar Melayu

Zefry Dahalan | January 28, 2012

Beliau menghina dengan menyatakan pelajar Melayu tidak cemerlang dan dalam masa yang sama mendabik dada bahawa beliau adalah ahli politik yang bijaksana.

SEREMBAN: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr Mohamad Rafie Abdul Malik hari ini membidas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal meningkatkan kualiti pelajar Melayu di Malaysia seperti yang beliau akui sendiri.

“Mahathir menghina dengan menyatakan pelajar Melayu tidak cemerlang dan dalam masa yang sama mendabik dada bahawa beliau adalah ahli politik yang bijaksana.

“Jika benar Mahathir ahli politik yang bijaksana dan telah diberi peluang mentadbir Malaysia selama 22 tahun (1981 – 2003) tetapi beliau gagal untuk meningkatkan kualiti pelajar-pelajar Melayu di Malaysia seperti yang beliau akui sendiri

“Bukankah jika benar lulusan Melayu lemah, AUKU (Akta Universiti Kolej Universiti) memberi sumbangan untuk memalapkan daya fikir dan daya kritis di dalam membantutkan cara berfikir pelajar Melayu.

“Tetapi adakah benar pelajar Melayu lemah? Jika ini benar pejuang bangsa Melayu iaitu Umno dan Perkasa wajar berdiri di barisan hadapan untuk mengatasi masalah ini. Jika ini tidak benar mereka perlu menangkis penghinaan Mahathir dan bukan menikus”, tegas Rafie.

Rafie yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban berkata seandainya kenyataan yang sama dikeluarkan oleh mana- mana pemimpin Pakatan Rakyat, isu menidakkan kecemerlangan pelajar Melayu ini sudah pasti akan meletup menjadi isu yang besar.

“Sudah tentu Umno dan Perkasa akan mengadakan bantahan dan membuat ratusan laporan polis di seluruh negara dengan alasan pemimpin Pakatan menghina pelajar Melayu dan melabelkan sebagai pengkhianat bangsa Melayu.

Umno, Perkasa membisu

“Tetapi bila Mahathir yang membuat kenyataan menghina pelajar Melayu, Umno dan Perkasa membisu ibarat tiada pegangan diri”, ujar Rafie.

Mahathir dalam akhbar Sinar Harian (27 Januari) dipetik berkata mahasiswa Melayu perlu menghargai peluang tawaran ke universiti kerana kemasukan mereka ke universiti bukan kerana pencapaian tinggi atau keputusan cemerlang berbanding bangsa lain.

“Saya bukan rasis tapi budak Melayu ini kelulusan tak tinggi, orang inilah yang nak sangat hapuskan AUKU. AUKU tidak relevan kalau kita tahu menjaga diri,” katanya.

Bernama pula melaporkan Mahathir berkata “Kita fikir (jika) tak demonstrate (berdemonstrasi) tak boleh jadi ahli politik yang baik. Saya dulu tak dak demonstration pun tapi boleh jadi ahli politik yang ada kebijaksanaan juga”.

No comments: