Balu, anak-anak yatim dan cerita parang

By Helen Ang,

Kalian mungkin masih ingat lagi cerita sebilah parang kononnya ditemui polisdalam kereta yang dibawa remaja Aminulrasyid Amzah berusia 14 tahun.

Aminulrasyid ditembak mati polis.

P. Kathir Oli mati ditembak polis pada Sept 15 lepas. Mendiang didakwa telah menggunakan parang untuk menyerang seorang anggota polis. (Baca butir-butir kes di sini.)

Dalam The Star hari ini: ‘Protest over contractor’s death at Perak police HQ’. Namun laporan Star berat sebelah dengan hanya menggambarkan latar cerita yang dikisahkan polis sahaja.

Cerita sebelah pihak lain tidak dimuat akhbar tersebut. Bukan itu sahaja, laporan Star juga menerapkan prasangka bahawa si mati bersalah walaupun tidak terbukti.

Ketua polis negeri Perak DCP Mohd Shukri Dahlan telah memberi sidang akhbar sehari selepas kejadian, iaitu pada Sept 16, mendakwa Kathir, 31, dan tiga orang rakannya cuba menyamun sebuah pub-karaoke.

Mohd Shukri membayangkan Kathir seorang penjenayah walhal mendiang yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saksi-saksi menyangkalkan cerita polis serta mendakwa Korporal Cheah Yew Teik – polis yang menembak Kathir – tidak berpakaian seragam, off-duty serta bekerja sebagai bouncer bagi pub tersebut di luar waktu bertugas. (Baca sini.)

S. Janaky, isteri mendiang, menuntut penjelasan mengapa tidak ada apa-apa usaha untuk menyelamatkan nyawa suaminya selepas beliau ditembak.

Janaky mendakwa anggota polis membiarkan sahaja mangsa walaupun sedang mengalami pendarahan teruk dan sebaliknya sibuk menggari rakan-rakan Kathir, menghantar mereka ke balai polis dan membuat kordon. (Memo kepada ketua polis negeri diserahkan kelmarin)

“Beliau seorang suami yang baik dan bapa yang bertanggungjawab kepada empat orang anak kami,” kata Janaky.

Awal tahun ini, M. Krishnan, seorang pemasang kawat berumur 37 tahun, ditangkap polis atas tuduhan memiliki dadah. Beliau mati di dalam lokap di balai polis Bukit Jalil dalam keadaan badannya berlebam-lebam, luka pada bahagian perut dan mata bengkak.

Isterinya P. Revathi, 37, mempertikaikan dakwaan polis bahawa suaminya terlibat dengan dadah. Revathi, seorang suri rumah, sekarang balu dengan enam orang anak — yang bongsu baru 8 tahun.

K. Letchumanan, 30, yang dijumpai mati di lokap polis Raub pada 18 Dis 2007 kononnya telah menggantung diri dengan selimut. Beliau ditangkap polis tiga hari awal.

Saraswathy, adik mangsa, mendakwa ada saksi yang menceritakan Letchumanan ditampar dan ditendang polis.

Letchumanan seorang pekerja ladang kelapa sawit meninggalkan isteri dan enam orang anak.

Baru-baru ini pada Okt 23, keluarga R. Mogana Sundram diberitahu polis bahawa beliau telah menggantung diri dengan tuala di bilik penjara Taiping. Seorang tahanan reman, Mogana, 25, telah dikemukakan caj di Mahkamah Majistret tetapi belum dibicarakan.

R. Gunasegaran, 31, juga dituduh bersabit dadah. Seorang pekerja di kedai todi, beliau dijumpai mati di balai polis Sentul pada 16 Julai 2009.

Ganga Gowri, adik mangsa, mendakwa ada saksi-saksi yang berkata Gunasegaran telah dibelasah polis ketika beliau ditangkap.

R. Seetha (gambar atas) membunuh diri dengan meminum racun paraquat selepas polis menembak mati adik lelakinya. Seetha mengalami tekanan jiwa kerana teramat sayang kepada adiknya Surenthiran, 24, yang mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Kes-kes yang disebut di atas hanya segelintir (tip of the iceberg) dalam senarai panjang.

No comments: