kemenangan tipis PAS di Manek Urai dilihat sebagai satu peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.

MANEK URAI, 14 Julai – PAS menang tipis di Manek Urai iaitu 65 undi sahaja namun politik damai yang diwujudkan di sini menarik perhatian para penyokong mereka.

Sehubungan itu, ketika meraikan kemenangan mereka, ada para penyokong PAS melaungkan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang berjaya mengawal suasana kempen pilihan raya ini dengan baik.

“Kami mahu pilihan raya yang aman dan tahniah kepada Datuk Rahim (ketua polis Kelantan),” kata seorang penyokong PAS di perkarangan pusat perjumlahan undi pilihan raya kecil Manek Urai ini.

Sejak awal pilihan raya ini lagi, pelbagai pihak mengakui tidak ada sebarang kejadian buruk berlaku kecuali sedikit ketegangan di beberapa pusat mengundi.

Namun, Bernama melaporkan seorang penyokong PAS ditahan kerana didakwa melontar batu kepada Puteri Umno.

Dalam pada itu, kemenangan tipis PAS kali ini dilihat sebagai saru peringatan kepada Pakatan Rakyat dan PAS agar sedar segera.

“Kami mahu pemimpin Pakatan sedar, kami orang bawah ini tidak mahu melihat pemimpin bergaduh dalam media dan memberikan persepsi negatif kepada umum,” kata seorang ahli PAS dari Kemaman.

Sejak kebelakangan ini, tanpa mengambil kira parti mereka sedang bertanding dalam pilihan raya kecil Manek Urai, para pemimpin Pakatan saling serang menyerang antara mereka di depan umum.

DAP Kedah membuat kenyataan menarik diri dari kerajaan Pakatan di negeri itu manakala di Selangor Pemimpin PKR, Azmin Ali mempertikaikan Exco kerajaan negeri Selangor.

Anggota Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula mendakwa seorang Exco Selangor berurusan dengan kumpulan kongsi gelap di pejabatnya.

Ekoran itu, cabar mencabar dan ugut mengugut berlaku.

Bagi menanganinya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan agar Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Disiplin untuk menjaga tatatertib pemimpin mereka.

Retreat pimpinan PAS Sabtu dan Ahad ini di Alor Setar dijangka akan menjadi perbincangan panas dengan apa yang berlaku ini sebelum mencapai kata sepakat di kalangan mereka.

MI
15/07/09

No comments: