APA AKAN JADI KALAU RAKYAT BOLEH BERDEBAT DENGAN RAJA?

Oleh:  WFAUZDIN NS

BAYANGKAN jika rakyat biasa boleh bepeluang berdebat dengan raja, tentu menarik sekali.  Aku yakin ramai keturunan raja di seluruh dunia ini cerdik-cerdik belaka dan berpelajaran tinggi, tetapi mungkin ada juga raja di dunia ini yang bukan sahaja tidak berpelajaran tinggi, tetapi ego. sombong dan zalim pula.  Maka, andainya rakyat boleh berhujah dengan raja di atas apa yang dia tidak puas hati atau terasa dirinya dihina oleh raja, sudah tentu tiada raja di dunia ini yang sewenang-wenangnya menunjuk lagak.
Sejarah lalu ada kisah raja atau Sultan yang suka berhujah dengan rakyat.  Kisah Sultan Aminur Rasyid terkenal dengan sikap baginda yang bijak dan sering berhujah dengan rakyatnya.  Ada juga raja yang zalim tetapi masih memberi peluang kepada penentangnya untuk berhujah di depan beliau.  Tetapi kerana zalimnya, hujah kebenaran yang dibawa di hadapannya ditolak mentah-mentah.  Tetapi sekurang-kurangnya raja zalim ini mahu berdebat.  Lupakah kita kisah Nabi Ibrahim A.S yang berhujah dengan rajanya berkenaan berhala?  
Amat malang sekali di era moden ini jika ada raja yang memerintah mana-mana negara atau benua sekali pun yang takut untuk berdepan dengan kebenaran.  Ada raja yang sentiasa menganggap rakyat berada di bawah telapak kakinya.  Raja yang suka memperbodohkan rakyatnya itu sebenarnya raja yang tidak cerdik tetapi berselindung di bawah kuasa yang dimiliki walaupun kuasa itu sebenarnya tidak bermakna jika tiada rakyat.  Raja jenis ini jika memerintah, rosaklah negeri kerana dia menyangka dia lah Tuhan yang tidak boleh ditegur dan dia sahaja yang betul sedangkan rakyat kenal asal keturunannya.
Nasib baik di negara kita raja-raja semuanya baik dan bijak belaka kerana kita tidak pernah dengar raja menampar atau menyepak rakyatnya, tidak pernah kita dengar raja minta balak, tidak pernah kita dengar raja kaki berpoya-poya dengan wanita malahan kita tidak mempunyai raja yang membazir.  Bahagianya kita.  Ada teman membuat lawak bodoh memberitahu aku, ada raja yang selalu dikritik tetapi tetap tenang, aku bertanya siapa raja itu?  Teman ku jawab, " Rajagopal", Jurulatih Bolasepak Harimau Malaya.  /wfauzdin.blogspot.com

No comments: