Loceng penggera peningkatan defisit fiskal negara sekali lagi
dibunyikan berikutan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan
Tambahan (2012) 2012 di Dewan Rakyat semalam.
Kerajaan Barisan Nasional (BN)
telah membentang RUU Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk memohon dana
tambahan mencecah sejumlah RM15,295,345,000, di mana RM13,795,345,000
merupakan perbelanjaan bekalan manakala RM1,500,000,000 adalah bagi
perbelanjaan tanggungan. Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)
berpendapat, perbekalan tambahan ini membebankan Negara dari segi
kewangan dengan peningkatan hutang Negara yang setakat ini telahpun
mencapai RM470,760 juta[1] dan turut menyeret defisit fiskal secara keseluruhan ke suatu tahap yang memerlukan pengawasan yang ketara.
Dalam penulisan KPRU bersama YB William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen
Selayang sebelum itu berjudul “Anwar vs Najib: Siapa lebih bijak dalam
tadbir urus hutang kerajaan?”[2],
statistik KPRU telah menunjukkan dengan jelas trend defisit fiskal
secara keseluruhan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menampakkan
perbezaan bermakna samada semasa ekonomi berkembang dengan baik atau
semasa ekonomi meleset.
Kini, setelah membentangkan RUU Perbekalan Tambahan (2011) 2012 untuk
mendapatkan tambahan peruntukan sebanyak RM10,290,243,800 bagi
menampung perbelanjaan kerajaan tahun 2011 pada bulan Mac 2012, dalam
tempoh masa yang singkat, Kerajaan BN sekali lagi membentangkan RUU
Perbekalan Tambahan (2012) 2012 untuk mendapatkan tambahan peruntukan
sebanyak RM15,295,345,000 bagi menampung perbelanjaan kerajaan tahun
2012.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri
Awang Adek Hussin untuk bacaan kali pertama kali ini dengan jumlah
paling besar – RM11.2 bilion – diperuntukkan bagi “perkhidmatan
perbendaharaan am”.
Berikut ialah senarai kementerian/jabatan kerajaan dengan peruntukan masing-masing:
Jadual 1: Peruntukan Perbekalan Tambahan Berdasarkan Kementerian
Kementerian/Jabatan | Peruntukan (RM) |
Perkhidmatan Am Perbendaharaan | 11,232,000,000 |
Kementerian Kerja Raya | 445,800,000 |
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan | 404,000,000 |
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) | 360,000,000 |
Kementerian Dalam Negeri | 353,520,000 |
Perbendaharaan | 300,000,000 |
Kementerian Pertahanan | 210,000,000 |
Jabatan Perdana Menteri | 112,900,000 |
Kementerian Pelajaran | 195,000,000 |
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri | 60,000,000 |
Kementerian Kesihatan | 40,000,000 |
Kementerian Sumber Manusia | 23,000,000 |
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar | 16,028,000 |
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah | 16,028,000 |
Kementerian Pelancongan | 15,000,000 |
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani | 10,000,000 |
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi | 10,000,000 |
Kementerian Pengangkutan | 2,000,000 |
Sesungguhnya, kekurangan disiplin dan kehematan dalam pengendalian
kewangan yang diamalkan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Najib telah
menyaksikan pemborosan yang begitu menonjol serta penuh dengan pelbagai
tuduhan penyelewengan. Biarpun Perdana Menteri telah berjanji
berulang-ulang kali bahawa kerajaan akan mengambil insentif dan langkah
bagi mengurangkan defisit fiskal, namun tiada pun kelihatan apa-apa
usaha yang nyata, bah kata pepatah, apa payahnya menaupkan bibir atas
bawah.
Kini, tambahan pula dengan pembentangan perbekalan tambahan, jangkaan
bahawa defisit fiskal Negara akan terus terjunam ke paras yang
membimbangkan selepas 15 tahun berturut-turut mengalami defisit.
Menurut Laporan Ekonomi 2011/2012 Kementerian Kewangan Malaysia,
unjuran defisit yang dialami oleh Malaysia pada tahun 2012 adalah
masing-masing berada pada kedudukan 4.8 peratus daripada Keluaran Negara
Kasar (KNK, atau Gross National Product (GNP)) dan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau Gross Domestic Product (GDP)) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2: Kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan 2012 (RM Juta)
Dikemaskini pada April 2012 | 2012 (Unjuran) |
Hasil | 186,906 |
Perbelanjaan Mengurus | 181,584 |
Perbelanjaan Pembangunan Bersih | 48,343 |
Defisit/Lebihan Keseluruhan | -43,021 |
% dari KNK | -4.8 |
% dari KDNK | -4.7 |
KNK (harga semasa) | 890,347 |
KDNK (harga semasa) | 918,322 |
Sumber: Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan[3]
Memandangkan kerajaan memohon peruntukan tambahan yang berjumlah
setinggi RM15,295,345,000 – suatu angka yang lebih tinggi daripada bajat
tambahan sebanyak RM10,290,243,800 bagi menampung perbelanjaan mengurus
dan perbelanjaan pembangunan untuk beberapa kementerian dan jabatan
bagi perkhidmatan tahun 2011. Lantas, perbelanjaan kerajaan memecut dan
memberi tekanan kepada defisit Belanjawan Negara.
Dengan menggunapakai data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan
dalam pengiraan defisit terbaru dengan menambah perbekalan tambahan yang
baru dibentangkan dan mengekalkan faktor lain termasuk jumlah hasil
pendapatan, adalah nyata bahawa defisit fiskal Ngeara kini telah
mencecah 6.4 peratus daripada KDNK seperti yang ditunjukkan dalam Jadual
3.
Jadual 3: Statistik KPRU: Unjuran Defisit Fiskal Pasca Perbekalan Tambahan 2012
Perbelanjaan Mengurus | RM181,584,000,000 | |
Perbelanjaan Pembangunan Bersih | RM48,343,000,000 | |
Perbekalan Tambahan 2012(Perbelanjaan Mengurus sahaja) | Perbelanjaan Bekalan | RM13,795,345,000 |
Perbelanjaan Tanggungan | RM1,500,000,000 | |
Jumlah
|
RM245,222,345,000 | |
Defisit/Lebihan Keseluruhan | -RM58,316,345,000 | |
% dari KNK | -6.5 | |
% dari KDNK | -6.4 |
Nota: Andaikan faktor lain seperti hasil Kerajaan tidak berubah.
Secara amnya, perkembangan ekonomi
Negara adalah senantiasa dalam arus yang dinamik, ada kalanya dilandai
kemelesatan dan ada kala pula meraikan peningkatan; data dan maklumat
berkenaan turut akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Maka,
pengiraan tersebut sekadar suatu anggaran dan dikemukakan sebagai
rujukan. Faktor lain seperti hasil pendapatan kerajaan mungkin berubah.
Misalnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan kutipan
hasil tahun 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun
sebelumnya, iaitu mencatat jumlah kutipan RM109.7 billion.[4]
Secara teori, peningkatan hasil Negara sememangnya dapat mengurangkan
atau sekurang-kurangnya menstabilkan defisit fiskal Negara, atas premis
perbelanjaan yang berhemat. Permasalahannya, pengurusan kewangan oleh
pihak kerajaan Malaysia yang menampakkan defisit fikcal berlarutan telah
menimbulkan keraguan tentang kemampuan kerajaan semasa dalam menangani
hutang Negara yang kian memuncak dan dalam merangka perbelanjaan Negara
secara berhemat.
No comments:
Post a Comment