Anwar: Saya cabar Muhyiddin turut dedah akaunnya

K Pragalath | June 9, 2012
Menurut Ketua Pembangkang itu, dakwaan tentang akaun-akaun itu pernah dilontar terhadap dirinya sebelum ini.
 
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan semua akaunnya (Muhyiddin) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya cabar beliau dedahkan akaunnya. Saya akan buka setiap dokumen saya untuk disiasat oleh SPRM,” kata Anwar yang pernah dituduh mempunyai 20 akaun dalam tahun 1999.

Beliau berkata begitu ketika mengulas tohmahan Muhyiddin terbaru bahawa dirinya mempunyai 20 akaun.
Sebelum itu, beliau berucap dalam sesi dialog bertajuk Anwar Ibrahim berkenaan Agenda Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Syarikat

Perniagaan dan Perindustrian Selangor di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Antara perubahan ekonomi yang beliau rancang ialah penswastaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Urusan kerajaan bukan berkaitan perniagaan atau mengambil alih perniagaan. Peranan kerajaan hanyalah untuk memerhati dan membantu urus sahaja.

“Sekarang negara ini mempunyai kemampuan maka kita seharusnya menggalakkan sektor swasta dalam perniagaan. GLC sepatutnya diperkecilkan atau diswastakan,” jelas Anwar kepada lebih kurang 1,000 hadirin.

Majlis ini turut dihadiri para pemimpin PKR seperti Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali; ahli exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong dan Ahli Dewan Negeri Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.
Sementara itu Bernama melaporkan ketika di Muar Muhyiddin menggesa Anwar menjelaskan segera dakwaan berhubung pemilikan 20 akaun induk induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lepas.

“Angka (RM3 bilion) yang disebut adalah besar. Jadi, ia merupakan tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk memperjelaskannya.

“Apakah benar atau tidak. Rakyat hendak tahu…pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan supaya penjelasan dibuat pun mewakili kumpulan rakyat yang bukan sedikit.

“Kalau tidak betul, Anwar harus mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan termasuk bekas Penolong Gabenor Bank

Negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Kasihi Pekebun peringkat negeri di Dataran Sarang Buaya, di Muar hari ini.

No comments: